LONDON: Peminat Arsenal pasti resah dan berdebar menanti kunjungan kelab muka baru Liga Perdana Inggeris, Blackpool bagi saingan di Stadium Emirates malam ini.
Kagum dengan pakej permainan bersungguh-sungguh yang dipamerkan Blackpool ketika mengatasi Wigan 4-0 minggu lalu, penyokong Arsenal juga terpaksa berdoa mengharapkan kapten Cesc Fabregas kembali diturunkan dalam skuad Arsene Wenger, selepas berehat kerana jangkitan kerongkong minggu lalu.
Arsenal seri 1-1 dalam perlawanan pertama liga musim ini di Anfield minggu lalu dan sambil mengalu-alukan kedatangan pemain baru Maroune Chamakh yang dipinjam percuma dari Bordeaux, mereka juga berharap Fabregas kembali memperkuatkan jentera tengah yang kehilangan sentuhan Samir Nasri.
Lebih-lebih lagi selepas melihat kemenangan meyakinkan Blackpool yang baru dinaiktaraf menerusi play-off musim ini, sehingga persembahan barisan Ian Holloway membuka mata ramai.
Blackpool kini menduduki tangga kedua liga di belakang Chelsea menerusi perbezaan jaringan, tetapi sama ada kehadiran mereka di kelompok atas liga adalah satu kebetulan, ia bakal dijawab malam ini apabila skuad kendalian Ian Holloway turun buat kali kedua.
Bertemu Arsenal yang dianggap barisan elit, kelab Seasiders bimbingan Holloway yang dianggap kelab terburuk pernah beraksi dalam kelompok elit Liga Perdana berpeluang menjawab segala sindiran itu di Emirates, malam ini.
0 comments:
Post a Comment